Kenaikan harga minyak kerana pelarasan subsidi?
Izinkan saya membuat analogi mudah
Sepasang suami isteri yang telah agak berusia serta bergelar datuk dan nenek memiliki satu kawasan kebun rambutan. Kebetulan tahun ini rambutan naik harga dan laris sekali di pasaran. Musim cuti sekolah sebagaimana biasa pulanglah anak cucu ke rumah dan tentunya rambutan atuk dan nenek akan menjadi sasaran mereka.
Tahun ini disebabkan harga rambutan yang meningkat di pasaran, sebelum anak cucu balik, awal-awal lagi atuk ini telah memasang strategi. Kebun rambutan itu dipagar. Di pintu pagar siap diletakkan tanda berapa harga sekilo rambutan mengikut harga pasaran semasa. Penimbang juga disediakan.
Sampai saja anak-anak cucu di kampung, terus mereka serbu pokok rambutan atuk. Atuk yang berfikiran kapitalis ini hanya tersenyum sambil menunggu di pintu pagar kebunnya.
“Wahai anak-anak dan cucu kesayanganku, selepas petik rambutan itu, sebelum kamu semua makan, pastikan rambutan itu ditimbang dan dibayar harganya mengikut tanda harga di pintu pagar ini. Terkejut beruklah semua anak cucu dengan karenah baru atuk mereka.
Biasanya atuk amat pemurah dan tak pernah berkira dengan cucu-cucu. Lebih teruk lagi, harga yang dipamerkan pula sama dengan harga rambutan di pasar.
“Alaa atuk, tak kan dengan anak cucu pun nak berkira, mahal pulak tu harga rambutan atuk ni..” Rayu seorang cucunya.
“Mahal kamu kata! Cuba kamu pergi check harga rambutan di Singapura dan di Jepun, tengok berapa harganya!” Tegas saja nada suara atuk.
“Betul lah di Singapura dan Jepun harga rambutan mahal, mereka mana ada pokok…” Seorang anak lelaki atuk mencelah.
“Harga rambutan atuk ini, mengikut harga semasa pasaran, bukannya atuk pandai-pandai buat naik harga sendiri. Sebelum ni sudah banyak atuk tanggung subsidi dengan bagi rambutan percuma pada kamu semua. Dari mana duit atuk nak dapat untuk beli baja, nak beli racun rumput, nak buat pagar, nak upah orang petik dan bla… bla.. bla…” Atuk terus membebel.
“Betul dah tu atuk, memang rambutan dah naik harga. Tapi atuk juallah kepada orang luar mengikut harga pasaran, dengan kami anak cucu tak kan lah atuk nak berkira. Tak kan sampai atuk nak suruh kami bandingkan harga rambutan atuk dengan harga rambutan di Singapura… Lagipun kebun rambutan ini memang hak atuk. Atuk pun tak perlu tanggung bayar subsidi harga kepada sesiapa. Pelik juga kalau kebun ini milik atuk, tapi tiba-tiba Atuk kata, atuk kena tanggung subsidi, isshh!! Kepada siapa pula subsidi ni dibayar?” Jawab seorang lagi cucu atuk yang kebetulan belajar ekonomi di sebuah universiti tempatan secara panjang lebar.
“Walau apa-pun kamu cakap, atuk tetap bertegas. Harga tetap tak diturunkan. Kamu semua sepatutnya bersyukur. Masih boleh balik kerumah atuk dengan aman, kampung kita pun masih aman. Makan pakai semua cukup. Kerja makan gaji . Semua pakai kereta besar. Tandanya kamu semua mampu. Tak kan lah nak bayar harga rambutan sikit pun sudah bising!” Atuk membuat keputusan muktamad.
Khadijah Firdaus
Sudah baco...Harap komen...
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete