Alkisah RM10…
Melihat rakan-rakan sekolah giat mengumpul permainan dalam kotak Tora Aman, saya iri hati dan terasa ibubapa saya tidak berguna kerana tidak dapat memberikan saya duit untuk hidup seperti rakan-rakan sekolah.
Satu hari, abon pulang dari kerja. Abon terus menukar pakaian kepada bertuala untuk bercuti. Dompet abon masih di dalam seluar panjangnya.
Kerana iri hati di samping marah dengan rakan-rakan yang mengejek saya tidak mempunyai permainan yang dikumpulkan daripada kotak makanan Tora Aman, saya mengambil peluang mencuri RM10 daripada dompet abon ketika abon sedang mandi.
Saya mengira duit yang ada dalam dompet abon, ada RM200, tapi semuanya RM10.
“Abon tak akan perasan kot saya mengambil sekeping,” bisik hati saya.
Tiba-tiba… mak memanggil, “Him tolong simpan baju, hari dah gelap.” Saya bergegas meletakkan dompet abon kembali ke dalam seluarnya dan keluar menyimpan baju.
Saya bimbang sepanjang malam, takut-takut abon menyemak dompetnya. Tapi abon tidak, selepas solat Isyak, abon terus tidur bersama mak.
Besok paginya, saya terus ke sekolah dengan gembira. Lepas sekolah nanti, saya akan belikan 10 kotak Tora Aman dan dapatkan permainan dalam kotak dan saya boleh bermegah semula di depan rakan-rakan bahawa ibubapa saya pun mampu memberikan saya duit untuk membeli permainan tersebut.
Rakan-rakanku menyambut penyertaan saya ke dalam group mereka yang mempunyai permainan Tora Aman. Saya berasa bangga dan gembira sehingga melupakan peristiwa RM10 itu.
Saya pulang ke rumah lewat kerana leka bermain dengan rakan-rakan. Abon sudah berada di rumah.
Mak pula melihat saya dengan penuh kebisuan tanpa senyuman yang biasa.
Terasa mak ingin memarahi saya. Tapi saya tak tahu mengapa.
Apabila saya memanggil mak, tangan mak hampir menampar saya. Saya ketakutan sambil menutup mata. Tamparan yang dinantikan tidak sampai.
“Ayang, biar abang yang handle. Ayang gi masak. Abang nak makan sedap dengan Him malam ini. Buat ayam goreng rempah,” kata abon yang memegang tangan mak yang ingin menampar saya.
Mak nak berkata sesuatu, tapi abon dengan tegas berkata, “Pergi masak. Abang akan selesaikan.”
Abon menyuruh saya untuk mengikutnya keluar dengan kereta untuk membeli barang.
“Hari ini macam mana Him?” tanya Abon.
“Bagus abon. Maaf lambat balik sikit. Tapi Him tak tinggal sembahyang. Takut-takut mak marah sebab rasa Him tinggal sembahyang,” jawab saya.
Abon tersenyum.
“Abon hari ini kurang baik,” kata Abon.
“Mengapa abon? Apa berlaku?” tanya saya.
“Semalam kereta abon bermasalah, engin air didih. Hari ini keluar awal bawa kereta ke mekanik untuk diperbaiki. Cadangnya abon naik bas pergi kerja dari tempat mekanik. Lepas itu waktu balik kerja, ambil bas ke tempat mekanik untuk ambil kereta.
Mekanik itu minta bayaran dulu sebelum kereta direpair kerana perlu duit beli spare parts. Abon dah janji semalam untuk bayar habis RM190. Abon beri RM190 pada mekanik, sepatutnya abon ada RM10 baki untuk naik bas dan makan tengahari, tapi tak tahu mengapa duit RM10 itu hilang,” kata abon.
“Hilang? Bagaimana hilang? Ada terjatuh mana-mana,” saya tanya berpura-pura.
“Abon terpaksa meminjam duit RM10 daripada mekanik untuk ulang-alik kerja dan makan tengahari tadi. Akaun bank abon dah kosong untuk bulan ini, hanya tinggal akaun mak ada duit. Jadi abon terpaksa pinjam RM10 lagi daripada rakan sekerja untuk bayar mekanik,” kata abon.
Saya simpati pada abon tapi saya diam takut peristiwa mencuri terbongkar.
“RM10 itu bukan banyak. Tapi itu hasil titik peluh abon setiap hari. Keluarga bukannya berduit, setiap ringgit mak dan abon perlu fikir sebelum belanja. Jika bukan kerana kereta rosak terpaksa repair supaya abon dapat ke kerja dengan mudah, abon takkan guna RM190 itu. Jika RM10 itu pengemis kelaparan ambil, abon tak kisah. Kalau RM10 itu ada yang ambil untuk bermegah-megah benda tak tentu pasal, abon akan rasa sakit hati,” kata abon.
“Abon dah cari baik-baik RM10 itu?” tanya saya yang masih berpura-pura dan abon terus memandu kereta tanpa destinasi.
“Him. Abon sangat sakit hati. Abon gagal sebagai seorang ayah,” kata abon.
“Mengapa pula?” tanya saya.
“Abon gagal didik Him bahawa berbohong itu silap. Abon gagal buat Him takut berbohong. Sebaliknya Him takut kesalahan dan kebenaran dibongkarkan. Abon gagal buat Him faham mencuri itu satu kesalahan besar. Abon gagal mencari duit yang cukup untuk duit poket Him sehingga Him terpaksa mencuri. Abon sedih kerana Him buktikan abon ini memang gagal sebagai sebagai seorang ayah,” kata abon yang teresak-esak dengan air mata kemerahan.
“Bila Him balik lewat, Abon keluar ke sekolah mencari Him. Nampak Him bangga dengan permainan baru di depan rakan-rakan. Abon terus balik. Abon renung dan bertanya, Him perlukan duit, tapi Him tak berani minta terus-terang daripada Abonnya. Silap Abon dan mak di mana? Silap Abon dan mak mengajar di mana? Abon berbincang dengan mak, kata bukan silap Him, tapi silap abon dan mak sebagai ibubapa,” kata abon lagi yang sudah menghentikan keretanya di tepi sebuah padang.
“Abon. Maafkan saya abon. Him yang mencuri. Him yang silap. Him mohon maaf sakitkan hati abon. Abon tak salah. Bukan abon yang tak pandai mengajar. Silap Him tak pandai jadi anak yang soleh. Him janji pada Allah tak akan buat lagi,” kata saya sambil berpelukan menangis bersama abon.
Sejak itu saya berubah menjadi seorang yang bertanggungjawab pada abon dan mak. Saya menjadi kebanggaan abon dan mak di sekolah, di universiti dan di mana-mana.
Senyum.
Jika anda tidak dapat menjadi penulis yang memberikan manfaat, jadilah pembaca yang memberikan manfaat kepada orang lain.
Khadijah Firdaus
Sudah baco...Harap komen...
No comments:
sila tinggalkan link jika ada,
komen anda tanggungjawab sendiri.