KISAH TIGA ORANG MUKMIN YANG TIDAK MENYERTAI PERANG TABUK
Di antara puak munafikin, jumlah yang tidak menyertai gerakan ke Tabuk boleh dikatakan banyak juga. Bukan sahaja mereka gagal menyahut seruan Nabi Muhammad SAW malah mereka cuba mempengaruhi orang-orang lain supaya berbuat demikian.
Di antara orang-orang yang beriman pula, hanya tiga orang sahaja yang tidak menyertai tentera Muslimin. Mereka ini ialah Murarak bin Rabi, Hilal bin Umayyah dan Ka'ab bin Malik. Murarah tidak bersama-sama Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya kerana buah-buah tamar dikebunnya telah masak dan terpaksa dikutip. Dia menyangka yang penyertaannya dalam lain-lain peperangan terdahulu daripada ini dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang sedang dihadapi. Di sini dia telah melakukan kesalahan mementingkan hartanya daripada Allah SWT. Apabila dia menyedari kesalahannya dia mendermakan kebunnya kepada orang.
Akan Hilal pula, dia sibuk mendampingi kaum keluarganya yang pulang ke Madinah selepas meninggalkan kota itu beberapa ketika lamanya. Seperti Murarah, dia juga telah menyertai beberapa peperangan yang terdahulu. Ternyata yang Hilal telah melakukan kesalahan mementingkan kaum keluarganya daripada Allah SWT. Setelah menyedari kesalahannya dia telah memutuskan perhubungan dengan kaum kerabatnya.
Mengenai Ka'ab pula, dengarlah cerita seperti yang diceritakan olehnya sendiri. Cerita Ka'ab ini terkandung di dalam semua buku-buku Hadis. Katanya: "Semasa berlaku gerakan ke Tabuk, keadaan hidup aku agak mewah. Aku mempunyai dua ekor unta kepunyaanku sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah memiliki bilangan unta seperti tersebut tadi. Telah menjadi amalan Nabi Muhammad SAW yang ia tidak suka memberitahu kepada umum tentang tempat yang ditujui oleh gerakan tentera Muslimin, tetapi sekali ini oleh kerana jauhnya perjalanan yang mesti ditempuhi, kerana musim kemarau pada masa itu dan oleh kerana kekuatan tentara kafir, ia terpaksa menceritakan segala-galanya agar persiapan-persiapan dapat diperbuat dengan sempurnanya. Orang-orang yang bakal menyertai pergerakan ke Tabuk terlalu banyak sehingga tidak mungkin diketahui nama-nama mereka semuanya. Demikian juga payahnya untuk mengetahui nama-nama mereka yang tidak menyertai Nabi Muhammad SAW."
"Pada ketika itu kebun-kebun di Madinah telah penuh dengan buah-buah yang telah masak. Tiap-tiap pagi saya bercita-cita hendak membuat persiapan-persiapan agar dapat menyertai tentera Muslimin, tetapi entah bagaimana keazaman saya itu tidak menjadi kenyataan. Saya ketahui benar-benar yang saya dapat menyertai mereka bila-bila masa sahaja. Dalam keadaan saya yang demikianlah, maka berita mengenai keberangkatan tentera Muslim telah sampai ke pengetahuan saya. Saya masih berpendapat yang saya mendahului mereka sekiranya saya dapat bersiap sedia dalam sehari-dua."
"Penangguhan saya untuk melakukan sesuatu yang tegas berlanjutan sehingga tibalah masanya tentera-tentera Muslimin hampir tiba di Tabuk. Dalam keadaan yang demikian pun saya masih juga menangguh-nangguh. Tiba-tiba apabila saya melihat orang-orang yang tertinggal di Madinah, saya menyedari yang kebanyakan daripada mereka ini terdiri daripada kaum-kaum munafikin dan mereka yang telah sengaja diuzurkan oleh Nabi Muhammad SAW kerana sebab-sebab yang tertentu. Setibanya Nabi Muhammad SAW di Tabuk, Baginda pun bertanya: "Mengapa aku tidak melihat Ka'ab?" Jawab salah seorang daripada para sahabat: "Ya Nabi Muhammad SAW, kebanggaannya kepada harta dan kesenangan kehidupannya telah menyebabkan dia tertinggal di belakang." Maaz mencelah sambil berkata: "Tidak, Ini tidak mungkin. Setahu kami dia adalah seorang Mukmin yang sebenar-benarnya." Nabi Muhammad SAW tidak mengeluarkan sepatah katapun."
Ka'ab meneruskan ceritanya: "Selepas beberapa hari saya pun mendengar berita mengenai kepulangan Nabi Muhammad SAW saya tiba-tiba dirundungi oleh perasaan sedih dan kesal yang maha hebat. Beberapa alasan iaitu yang mungkin dikemukakan kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengelakkan kemurkaan Baginda terbayang-bayang di kepala saya. Saya juga telah meminta nasihat daripada orang-orang yang cerdik pandai di kalangan keluarga saya, tetapi akhirnya alasan-alasan ini saya ketepikan dan saya membuat keputusan hendak bercakap benar kepada Nabi Muhammad SAW."
"Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila Baginda pulang dari suatu perjalanan, Nabi Muhammad SAW akan singgah di masjid untuk mendirikan Solat Tahyatul Masjid serta beramah mesra dengan pelawat-pelawatnya. Pada ketika itu, datanglah orang munafik bersumpah-sumpah sambil memberi sebab-sebab mengapa mereka tidak menyertai Nabi Muhammad SAW ke Tabuk. Nabi Muhammad SAW menerima saja alasan-alasan yang diucapkan oleh lidah-lidah mereka sedangkan kandungan batin mereka tinggalkan kepada Allah SWT untuk membereskannya."
"Kemudian saya pun tibalah untuk menemui Rasulullah SAW lantas memberi salam kepada Baginda SAW. Suatu senyuman yang tawar, Baginda menolehkan mukanya ke arah lain. Saya berkata: "Wahai Rasulullah, Tuan memalingkan muka Tuan dari saya. Demi Allah SWT, saya bukannya munafik dan saya tidak meragui kebenaran agama saya." Baginda SAW menyuruh saya mendekati lalu bertanya: "Apa yang menghalangi kamu? Bukankah kamu telah membeli unta?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, kalau kepada orang lain sudah tentu saya dapat memberi alasan-alasan yang sesuai kerana Allah SWT telah mengurniakan saya dengan kefasihan bercakap, tetapi kepada Tuan, walaupun saya dapat memberi keterangan-keterangan dusta yang memuaskan hati Tuan, sudah tentu Allah SWT akan memurkai saya. Sebaliknya kalau saya menimbulkan kemarahan Tuan dengan bercakap benar saya percaya lambat-laun kemarahan Tuan itu akan dihapuskan oleh Allah SWT. Oleh itu saya bercakap benar. Demi Allah SWT saya tidak ada sebarang alasan pun sedangkan pada masa itu hidup saya mewah." Kata Nabi Muhammad SAW: "Dia sedang bercakap benar." Kemudian Baginda SAW berkata: "Pergilah kamu dan Allah SWT akan menentukan sesuatu bagi kamu."
"Apabila saya meninggalkan Nabi Muhammad SAW, orang-orang dari puak saya telah menyalahkan saya kerana telah bercakap benar di hadapan Rasulullah. Kata mereka: "Kamu sebelum ini tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Kalaulah setelah memberi satu-satu alasan yang sesuai, kamu meminta Nabi Muhammad SAW berdoa untuk diampunkan oleh Allah SWT, yang demikian itu sudah tentu mencukupi." Kemudian saya bertanya kalau-kalau ada orang yang hal keadaannya seperti saya. Mereka menceritakan mengenai Hilah bin Umayyah dan Murarah bin Rabi. Mereka juga telah mengakui kesalahan mereka dan menerima jawapan yang sama. Saya tahu yang mereka ini adalah penganut-penganut agama Islam yang sejati dan telah mengambil bahagian dalam Peperangan Badar."
"Nabi Muhammad SAW sudah memerintahkan supaya kami bertiga dipulaukan. Tidak ada seorang pun yang berani bergaul dan bercakap-cakap dengan kami. Pada masa itu saya berasa seolah-olah saya tinggal berdagang di rantau orang. Kawan-kawan berkelakuan seperti orang asing. Dunia yang begitu luas menjadi sempit. Kalau saya mati, Nabi Muhammad SAW tidak akan mengimami sembahyang jenazah saya. Sebaliknya kalau Baginda SAW wafat sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas saya akan berterusan sehingga ke akhir hayat saya."
"Kawan-kawan saya yang berdua itu tidak menampakkan diri mereka di luar rumah, sedangkan saya memberanikan diri dengan berjalan-jalan di pasar dan bersembahyang berjemaah tetapi saya tidak dihiraukan oleh sesiapa pun. Kadang-kadang saya memberanikan diri menghampiri Nabi Muhammad SAW sambil memberikan salam. Saya menunggu-nuggu jawapannya dengan penuh harapan. Kerapkali selepas menunaikan solat fardhu, saya akan menunaikan solat sunat berhampiran dengan Nabi Muhammad SAW kerana ingin mengetahui sama ada Baginda SAW akan memandang saya atau tidak. Ya, Baginda SAW memandangkan saya semasa berada dalam sembahyang. Di luar sembahyang Baginda SAW memalingkan pandangannya dari saya."
"Pada suatu hari apabila saya rasa yang saya tidak dapat lagi menderitai pemulauan sosial yang dikenakan ke atas saya, saya telah memanjat tembok kebun sepupu saya, Qatadah. Saya mengucapkan salam kepadanya tetapi dia tidak menjawab. Saya menggesanya supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Saya bertanya: "Engkau tahu atau tidak yang aku mencintai Allah SWT dan RasulNya?" Soalan saya itu terpaksa diulangi sebanyak tiga kali. Pada kali yang ketiganya barulah dia menjawab: "Hanya Allah SWT dan RasulNya yang mengetahui." Mendengar jawapannya itu saya menangis lalu meninggalkannya."
"Pada suatu ketika, sedang saya melalui sebatang jalan di Madinah, saya terpandang akan seorang Kristian berbangsa Mesir yang telah datang dari Syam. Rupa-rupanya orang itu sedang mencari saya. Apabila orang ramai di situ menunjukkan saya dia pun menghampiri saya sambil menyerahkan sepucuk surat daripada Raja Kristian yang memerintah Ghassan. Surat itu berbunyi: "Kami telah mengetahui akan penganiayaan yang kamu perolehi dari ketua kamu. Allah SWT tidak akan membiarkan kamu dalam keadaan hina dan malu. Eloklah kamu menyertai kami dan kami akan memberi segala pertolongan kepada kamu."
"Apabila saya membaca surat ini saya mengucapkan: "INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN." Demikianlah hal keadaan saya sehingga orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad. Saya tidak dapat membayangkan segala kecelakaan yang menimpa diri saya. Dengan serta merta saya mencampakkan surat itu ke dalam api dan saya pun terus pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Kata saya: "Ya Rasulullah SAW, saya telah tergelincir di dalam jurang kehinaan yang amat dahsyat sehinggakan orang-orang kafir menyangka yang saya akan murtad."
"Selepas empat puluh hari pemboikotan itu berjalan seorang utusan Nabi Muhammad SAW mendatangi saya dengan membawa satu perintah baru dari Nabi Muhammad SAW. Saya diperintahkan supaya berpisah dari isteri saya. Saya bertanya kepada utusan itu sama ada isteri saya terpaksa diceraikan. Dia hanya menyuruh saya berpisah dari isteri saya. Perintah yang sama diberikan kepada sahabat-sahabat yang berdua itu. Kata saya kepada isteri saya: "Pergilah kamu tinggal bersama-sama orangtuamu sehingga Allah SWT menentukan sesuatu bagiku."
"Isteri Hilal pun telah pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW sambil mengadu kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah, Hilal sudah tua dan tidak ada orang untuk menjaganya. Kalau aku meninggalkannya sudah tentu dia akan mati. Izinkan aku supaya menjagainya." Nabi Muhammad SAW menjawab: "Baiklah, tetapi jangan melakukan perhubungan jenis." Kata isteri Hilal: "Ya Rasulullah, dia sudah tidak ada keinginan semenjak pemulauan dikenakan ke atasnya. Dia menghabiskan masanya dengan menangis."
"Ada orang yang mecadangkan kepada saya supaya meminta kebenaran daripada Nabi Muhammad SAW untuk membolehkan isteri saya tinggal bersama-sama saya tetapi saya enggan berbuat demikian kerana saya masih muda sedangkan Hilal sudah tua. Lagi pula saya tidak berani membuat permintaan yang demikian. Sehingga ini pemulauan telah dijalankan keatas kami selama lima puluh hari."
"Pada pagi yang kelima puluh itu sedang saya duduk-duduk di atas bumbung rumah saya, setelah melakukan Solat Fajar, saya terdengar orang menjerit dari kemuncak bukit Salak. "Ada berita gembira buat kamu, ya Ka'ab." Sebaik sahaja saya mendengar berita itu saya pun bersujud dengan gembiranya sambil mengucapkan syukur kepada Allah SWT. Saya tahu yang saya telah perolehi keampunan daripada Allah SWT. Sebenarnya Nabi Muhammad SAW mengisytiharkan keampunan Allah SWT kepada kami bertiga selepas solat Subuh itu."
"Kemudian datang pula seorang penunggang kuda membawa berita yang sama. Oleh kerana kegembiraan yang amat sangat saya telah menghadiahkan pakaian yang terlekat di badan saya kepada pembawa berita gembira itu. Pada masa itu saya hanya memiliki pakaian yang sedang saya pakai tadi. Oleh hal yang demikian saya meminjam sehelai pakaian dari sahabat saya dan memakai pakaian itu dan saya terus pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Apabila saya tiba di masjid orang-orang yang sedang berbual-bual dengan Rasulullah SAW datang menerpa dan memegang tangan saya sambil mengucapkan tahniah. Orang yang mula-mula mengucapkan tahniah kepada saya ialah Talhah. Kemudian saya pun menyampaikan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Muka Baginda SAW berseri-seri dengan cahaya kegembiraan. Saya berkata kepada Baginda SAW: "Ya Rasulullah, saya bercadang hendak mendermakan semua harta saya sebagai mengucapkan syukur kepada Allah SWT yang telah sudi menerima taubat saya." Baginda SAW berkata: "Janganlah habiskan semua harta kamu. Tinggalkan sedikit untuk kepentingan dirimu." Saya pun mendermakan harta saya kecuali rampasan yang diperolehi dalam Peperangan Khaibar."
"Kebenaran telah menyelamatkan saya dan oleh itu saya berazam hendak bercakap benar pada setiap masa."
Wallahua'lam.
Source: tigosotigo
Khadijah Firdaus
Sudah baco...Harap komen...
No comments:
sila tinggalkan link jika ada,
komen anda tanggungjawab sendiri.