8 Ciri Wajib Ada Pada Seorang Pemimpin Islam

08 December 2012


Sabda Nabi S.A.W: “Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua”. (Riwayat Abu Daud)

Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38:
“Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah
dikerjakannya”.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41:
“Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru
(manusia) ke neraka dan pada hari Kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan”.
Ciri-ciri utama sebagai seorang pemimpin yang baik:

1. Seorang yang berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai ‘istihza’ atau dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

2. Seseorang yang memiliki ‘al-Quwwah’ yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual dan mental. Dalam al-Qur’an telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26:
“Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

3. Seseorang yang memiliki sifat taqwa, kerana ciri-ciri inilah yang
menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 103:
“Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa nescaya
mereka akan mendapat pahala; sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya”.

4. Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil…”.

5. Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab dan peka dalam semua perkara ditunaikan kepada orang bawahannya dengan penuh kasih sayang dan kemesraan tanpa ada pemisah atau jurang kesombongan.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah 128:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang yang beriman”.

6. Seseorang pemimpin itu hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan.

Hadith daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya”. (Riwayat al-Bukhari)

7. Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya.

Hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:
“Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya”. (Riwayat at-Tirmidzi)

8. Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya.

Sabda Nabi S.A.W:
“Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab ‘Al-Jamik li Ahkamil Quran’ bahawa,
“Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Hadith daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda
yang bermaksud:
“Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak)”. (Riwayat Imam Ahmad)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan-ejekan dan permainan di kalangan orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang kafir musyrik itu sebagai pemimpin dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Al-Maidah : 57)

Khadijah Firdaus
Superjo...Supermen...
Sudah baco...Harap komen...

No comments:

sila tinggalkan link jika ada,
komen anda tanggungjawab sendiri.