PADA 11 Julai 2012, PM mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
Bagi Akta Keharmonian Nasional yang akan digubal itu, PM menyatakan rang undang-undang baharu itu akan bersifat lebih spesifik bagi membolehkan kerajaan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional. PM juga menyatakan peruntukan baharu ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan. Katanya lagi: "Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang [baharu ini], kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea.”


