20 Sen : Golongan Pertengahan Juga Terkesan

03 September 2013

rich dont care

Aku sempat memenuhkan tangki keretaku 5 minit sebelum tengah malam di stesen Petronas dalam perjalanan pulang dari usrah di rumah sahabat. Bilangan kenderaan yang beratur sudah tidak banyak berbanding dengan bilangan yg aku perasan semasa aku dalam perjalanan ke sana

Aku bukan pakar ekonomi malah tak pernah langsung belajar subjek ekonomi. Maka, nak mengulas panjang soal rasional kenaikan harga minyak hari ini bukan dalam lingkungan kepakaran aku.

Tapi, aku maklum melalui sahabat-sahabat yg lebih arif bahawa penurunan subsidi minyak kelihatan perlu dalam suasana ekonomi sekarang.

Sejujurnya, aku tidak terlalu terganggu jika ia adalah langkah yg perlu. Tapi yg menyebabkan aku sukar menerima berita kenaikan harga apa-apa barang adalah disebabkan aku tahu betapa teruknya korupsi di kalangan ahli politik kerajaan sekarang. Isu ketirisan, isu 'tiba-tiba kaya' apabila diangkat menjadi menteri, soal tender kerajaan yg menetapkan harga barangan tidak munasabah, budaya menetapkan peratusan imbuhan jika ada projek berlangsung di bawah 'jajahan' seseorang ahli politik dan banyak lagi menyebabkan aku tidak punya kepercayaan kepada manusia-manusia yang menguruskan harta negara dengan jujur dan integriti.

Sejak PRU ke 13 berakhir, kita bukan sahaja menerima berita kenaikan harga minyak tapi juga penerusan sistem AES dalam keadaan rakyat masih mempersoalkan perlaksanaannya, antaranya pemberian tender kepada syarikat swasta dan beberapa isu lain.

Aku dikira berada dalam golongan pertengahan, tidak kaya dan tidaklah miskin. Kini, aku berbelanja RM400-500 sebulan untuk petrol sahaja. Dengan harga sebelum ini pun aku sudah cukup terasa akan tingginya harga minyak jika nak dibandingkan dgn pendapatan, aku tidak tahu bagaimana pula nasib bagi golongan yg punya pendapatan lebih rendah

Dengan kenaikan harga petrol, harga barang dan beberapa sektor perkhidmatan juga akan naik. Ia tidak akan dapat dielakkan dan kerajaan perlu bersikap adil kepada golongan peniaga, pemandu teksi dan sebagainya, yg akan cukup merasai akan perubahan harga petrol. Mereka juga mahu hidup, menyara keluarga sebagaimana orang lain.

Secara keseluruhannya kuasa membeli rakyat akan menurun. Sebagai anak muda, kita punya cita-cita memiliki rumah sendiri. Namun, lihatlah harga rumah sekarang. Bagi kami, yg kedua-dunya bekerja pun hanya mampu menelan air liur melihat harga rumah yg cukup tidak munasabah. Akhirnya, rumah-rumah ini menjadi 'gelanggang permainan' orang-orang kaya yg terlibat dalam 'property investment'. Yang menyedihkan, mereka adalah di kalangan orang luar seperti Singapura. Tanpa sedar, tanah kita makin banyak dimiliki oleh rakyat luar kerana rakyat kita sendiri tidak mampu membelinya.

Ada yg berkata, bukankah kerajaan telah memberikan wang BR1M untuk menampung kehidupan rakyat? Pertamanya, orang seperti aku yg datang daripada kelas ekonomi pertengahan tidak layak menerima BR1M. Maka sebenarnya, jika dikaji secara keseluruhan aku agak yakin bahawa golongan yg paling terkesan dengan kenaikan harga barang adalah golongan pertengahan. Yang kaya hanya memandang sebelah mata. Yang miskin hidupnya mungkin tidak perlu berkereta dan dapat pula bantuan daripada kerajaan.

Bagi yang layak menerima BR1M juga perlu sedar dari mimpi bahawa seiring dengan pemberian BR1M, kerajaan juga telah melipat gandakan usaha mengambil lebih banyak wang dari rakyat. Ia terpaksa dilakukan untuk menambah pendapatan kerajaan yg mana juga banyak memberi keuntungan kepada golongan kaya yang mengawal ekonomi negara.

Aku tidak dapat berharap kehidupan majoriti rakyat akan bertambah senang dengan kekalnya pemimpin yang tidak berintegriti. Tan Sri Isa Samad yg telah terbukti terlibat dalam rasuah diangkat menjadi orang tertinggi dalam Felda. Situasi yg tidak akan berlaku dalam mana-mana negara yg mahu menjaga integriti pentadbiran. Malah cukup dengan akal fikiran pelajar sekolah rendah, ia tidak rasional. Respons twitter yang diberikan oleh YB Bung Mokhtar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan mungkin tidak begitu mengejutkan bagi ramai orang yg mengenali beliau melalui sesi perbahasan di Parlimen tapi ia cukup untuk membuktikan ramai pemimpin kita tidak cakna dan tidak pun kisah akan kesusahan rakyat.

Bagi aku mudah, kerajaan perlu serius dan teramat serius dalam melaksanakan amanah menjaga harta negara ini. Jika ia berlaku dengan baik, aku yakin kenaikan harga dengan sebab yg benar, rakyat akan lebih mudah menerima.

Satu lagi persoalan yang mengganggu fikiranku adalah mengapa kenaikan harga minyak ini diumumkan hanya 5-6 jam sebelum harga dinaikkan? Jika ada sebab ekonomi, aku sangat harap sahabat sekalian boleh maklumkan. Terasa seperti rakyat diperkotak-katikkan semasa melihat ribuan kereta beratur panjang di stesen-stesen minyak. Mungkin ada yg baru pulang kerja jam 8 setelah berjam-jam mengharungi kesesakan lalu lintas, terpaksa pula beratur selama 30-45 minit untuk mengisi penuh tong petrol yg mungkin hanya akan bertahan 2 hari lagi.

Aku hanya ingin tahu, adakah mustahil jika kerajaan boleh umumkan sekurang-kurangnya sehari sebelum? Mungkin rasional kepada kenaikan harga ini juga dapat dijelaskan kepada rakyat dalam tempoh berkenaan. Aku sekadar mahu rakyat lebih dihormati.

Apa-apapun, mari berusaha ke arah negara yg lebih baik. Buatlah apa sahaja sekalipun perlu memindahkan kuasa yg ada pada parti yg memerintah kini kepada sekelompok yg kelihatan jauh lebih berintegriti melalui pentadbiran negeri-negeri selama ini.

Semoga Allah redha!


Khadijah Firdaus
Superjo...Supermen...
Sudah baco...Harap komen...

No comments:

sila tinggalkan link jika ada,
komen anda tanggungjawab sendiri.