Akta Hasutan 1948 vs Akta Keharmonian Nasional

07 July 2013

kuku besi

PADA 11 Julai 2012, PM mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Bagi Akta Keharmonian Nasional yang akan digubal itu, PM menyatakan rang undang-undang baharu itu akan bersifat lebih spesifik bagi membolehkan kerajaan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional. PM juga menyatakan peruntukan baharu ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan. Katanya lagi: "Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang [baharu ini], kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea.”

Janji PM ini baik sekali, namun, setelah setahun berlalu, janji PM tersebut belum terlaksana lagi sehingga sekarang. Apa yang ada ialah kenyataan Menteri Dalam Negeri yang menyatakan Akta tersebut tidak perlu dimansuhkan kerana ia lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat kepada negara. Kenyataan Menteri ini menimbulkan pelbagai reaksi bergantung kepada parti mana yang disokong oleh mereka yang memberi komen.

Apakah kandungan yang terdapat dalam Akta Hasutan ini sehingga ada yang menuntut supaya Akta ini dimansuhkan? Yang menjadi pertikaian adalah peruntukan Seksyen 4(1) Akta ini, iaitu mana-mana orang yang:

(a) melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut...
(b) menyebut apa-apa perkataan menghasut
(c) mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula apa-apa penerbitan menghasut; atau
(d) mengimport apa-apa penerbitan menghasut...boleh didakwa di bawah Akta ini.

Saya yakin negara kita memerlukan akta pencegahan seperti ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara, mengenangkan negara kita adalah negara yang rencam masyarakatnya dan sensitif politiknya. Oleh sebab itu, saya menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri supaya Akta ini dikekalkan.

Jika baik dan perlu dikekalkan, mengapa pula pembangkang dan NGO mendesak supaya Akta ini dihapuskan seperti mana janji PM? Inilah pertanyaan menarik yang perlu dibincangkan.

Saya dapati peruntukan Seksyen 4(1) Akta ini adalah terlalu umum sehingga ia dengan mudah boleh terdedah kepada salah tafsiran oleh pihak kerajaan untuk menangkap bukan sahaja mereka yang menghasut sehingga boleh mengancam ketenteraman negara, tetapi juga menangkap ahli politik dan NGO yang boleh menganggu kuasa kerajaan. Akta ini juga menyekat kebebasan rakyat. Dan masalah utama dengan Akta ini ialah kerana adanya pendakwaan terpilih.

Kita boleh lihat banyak kes apabila melibatkan kata-kata dan ucapan sensitif dari pihak yang menyokong kerajaan, maka tindakan tidak diambil atau lambat diambil, tetapi apabila kenyataan yang sama datang dari pihak pembangkang, maka tindakan terlalu cepat diambil. Sikap double standard inilah yang menyebabkan pembangkang, NGO dan masyarakat sivil yang memahami erti keadilan marah dan kecewa. Saya sengaja tidak memberikan contohnya di sini kerana kita sama-sama boleh menilai tentang apa yang saya maksudkan.

Oleh sebab itulah, jika kerajaan tidak mahu memansuhkan Akta ini, saya menyokongnya, tetapi kerajaan hendaklah melakukan beberapa pindaan kepada Akta ini supaya jenis kesalahannya diberikan takrifan yang lebih spesifik lagi. Dan apabila pindaan hendak dibuat, kerajaan perlulah menjemput parti pembangkang dan NGO untuk turut sama berbincang supaya undang-undang yang dipinda nanti mewakili aspirasi rakyat seluruhnya.

Dalam melaksanakan undang-undang pula, kerajaan perlu mengelakkan pendakwaan terpilih. Pendakwaan terpilih inilah yang dilihat sebagai ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan ke atas rakyat menyebabkan ramai yang mahukan supaya Akta ini dmansuhkan.

Sebagai rakyat, saya mahu lihat kerajaan bertindak adil kepada semua rakyatnya. Sebagai rakyat, saya selalu berdoa agar negara kita selamat dan aman selamanya.


Source: M. Agus Yusoff
Khadijah Firdaus
Superjo...Supermen...
Sudah baco...Harap komen...

1 comment: