Persiapan Sebelum Pulang Berhari Raya

16 August 2012

pin pin

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum umat Islam seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas menunaikan ibadah berpuasa selama sebulan.

Dalam keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung, beberapa tindakan atau langkah pencegahan haruslah diambil bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Di sini kami berkongsi panduan atau tips-tips sebelum pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing sempena Hari Raya Aidilfitri.

RANCANG PERJALANAN ANDA

Bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman yang memakan perjalanan jauh, pastikan anda merancang terlebih dahulu dari segi tarikh dan jam berapa anda perlu bertolak. Ini penting bagi mengelak anda daripada tergesa-gesa serta terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Seperti dipetik daripada laman sesawang Lebuhraya PLUS, orang ramai terutama sekali dari Lembah Klang dijangka bertolak pulang pada 17 dan 18 Ogos. Oleh itu bagi mereka yang menuju ke kawasan utara seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan juga selatan iaitu Johor dinasihatkan bertolak sebelum jam 12 tengahari. Manakala untuk destinasi lain pula seperti Kuala Kangsar, Changkat Jering, Taiping dan Melaka boleh memulakan perjalanan antara jam 12 tengahari dan 3 petang. Anda boleh melihat jadual cadangan waktu perjalanan dari PLUS sempena cuti Aidilfitri dan juga Hari Kebangsaan seperti di bawah.


PASTIKAN KEADAAN KENDERAAN SELAMAT DIGUNAKAN

Tips ini merupakan perkara paling penting yang harus anda lakukan sebelum memulakan perjalanan jauh. Bawa kereta anda ke pusat servis yang bertauliah untuk pemeriksaan seperti enjin, bateri, tali kipas, air radiator, lampu depan, lampu isyarat, lampu brek, lampu kecemasan, tekanan angin tayar serta tayar simpinan, brek tangan serta pengilap cermin agar semuanya berfungsi dengan baik.

MAKLUMKAN KEPADA JIRAN / POLIS

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda memaklumkan kepada jiran terdekat yang tidak pulang ke kampung halaman untuk tengokkan rumah anda. Malah anda boleh memaklumkan di balai polis berdekatan agar polis membuat rondaan di kawasan rumah anda. Pastikan anda turut hentikan penghantaran surat khabar sehingga anda pulang ke rumah.

PEMERIKSAAN RUMAH SEBELUM BERTOLAK

Sebelum bertolak pulang, anda perlu memeriksa sekali lagi bahawa semua pintu dan tingkap telah dikunci terlebih dahulu. Pastikan anda menggunakan kunci yang baik dan tidak uzur. Cara ini merupakan langkah yang terpenting dan berkesan untuk mengelakkan rumah anda dipecah masuk. Barang-barang berharga perlulah disimpan di tempat yang selamat atau tersembunyi. Bagi menjaga keselamatan harta benda, jangan lupa untuk periksa peralatan seperti suis dan kepala gas supaya tidak berlaku litar pintas atau kebocoran gas bagi mengelak berlakunya kebakaran.

MEMULAKAN PERJALANAN

Untuk memandu bagi perjalanan jauh, pastikan anda rehat dan tidur dengan secukupnya, kerana jika anda keletihan ia boleh mengganggu konsentrasi anda ketika memandu. Yang kedua, elakkan mengambil ubat yang boleh memberi kesan mengantuk seperti ubat batuk atau selsema kerana ia boleh mengganggu tumpuan anda. Yang ketiga pula, elakkan daripada berperasaan marah sebelum memulakan perjalan. Ini kerana apabila anda marah ia akan membuat anda stress, hilang pertimbangan dan tidak menghiraukan peraturan jalan raya dan ini boleh membahayakan nyawa anda serta orang lain. Yang terakhir sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda mengisi tangki minyak dengan sepenuhnya bagi mengelakkan kenderaan kehabisan petrol di tengah-tengah jalan raya.

REHAT JIKA MENGANTUK

Jika anda berasa mengantuk atau letih, berhentilah di kawasan rehat yang disediakan untuk berehat sebentar bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini. Jangan tinggalkan barang-barang berharga di dalam kereta ketika berada di kawasan rehat. Pastikan pintu kereta dikunci bagi mengelakkan sebarang kecurian.

MEMANDU KETIKA HUJAN LEBAT

Jika anda memandu ketika hujan lebat, perlahankan kelajuan kenderaan anda dan pasang lampu hadapan. Elakkan daripada memandu laju kerana keadaan jalan raya yang licin boleh mengakibatkan kemalangan. Jarakkan kenderaan anda serta elakkan daripada mengekori kereta hadapan terlalu rapat. Ini kerana ia dapat mengelakkan daripada kemalangan berlaku. Amalkan pemanduan berhemah, pasti anda akan selamat sampai ke destinasi!

Source: yahoo
Khadijah Firdaus
Superjo...Supermen...
Sudah baco...Harap komen...

2 comments: